Joom Langkawi..!!

By | March 8, 2011



   4 mac 2011 ~ 11:45 malam, Perjalanan ke Pulau Langkawi bermula dari Jenjarom, Banting, Selangor. Trip kali ini lebih kepada santai dan jalan-jalan atau lebih berupa ‘honeymoon’. Dijadualkan berlangsung selama 3 hari 3 malam. Perjalanan dengan memandu kereta Myvi sendiri memakan masa lebih kurang 7 jam termasuk ‘rehat & rawat’. Langkawi merupakan destinasi pilihan isteri sejak sekian lama, oleh itu segala perancangan dan persiapan beliau telah aturkan semua bermula dari penginapan hotel, tiket feri, bot laju, kereta sewa serta pekej lain. Langkawi bukan asing padanya kerana beliau pernah belajar peringkat pra universiti selama setahun, di universiti berhampiran.
   Arca Helang yang dilihat sedang berdiri megah sambil mengembangkan sayapnya di atas ‘Batu Kawi’ di Dataran Helang merupakan ikon dan identiti Pulau Langkawi. Jika diteliti, nama Langkawi sebenarnya merupakan akronim antara perkataan ‘Lang’ dan ‘Kawi’. Menurut penduduk tempatan, ‘Lang’ diambil daripada perkataan bahasa melayu iaitu ‘helang’. Manakala, Kawi bererti merah hati.  Bersepadan dengan Pulau Langkawi yang turut menjadi habitat kepada sejumlah burung helang dari jenis kawi yang kelihatan berbulu merah hati dan berkepala putih. Selain itu, Kawi juga merujuk kepada sejenis batuan iaitu Batu Kawi yang banyak terdapat di sekitar Pulau Langkawi. Rujukan lain dijumpai di dalam buku tulisan Tun Mohamed Zahir yang bertajuk The Legends of Langkawi yang mana nama tersebut menghimpunkan dua perkataan Sanskrit ‘Langka’ = Keindahan dan ‘Wi’ = Tidak Terkira.
perhatikan bentuk bukit seperti apa?






   Langkawi adalah sebuah nama yang sarat dengan misteri, mitos dan mistik. Antara kisah legenda yang berkaitan dengan nama tempat di Langkawi ialah Pulau Dayang Bunting, Mahsuri, Puteri Dayang Sari, Telaga Tujuh, Telani dan Telanai, Geroda dan Jentayu, serta Gergasi Bertarung. 

   Pulau yang terkenal dengan lagenda silam sehingga dijolok sebagai Pulau Lagenda sememangnya kaya dengan keindahan alam, kini dikenali sebagai Langkawi Geopark . Pada tahun 1987, Pulau Langkawi telah diberi status sebagai Pulau Bebas Cukai.

   Antara destinasi perlancongan yang paling popular di utara Malaysia. Salah satu daripada daerah dalam negeri Kedah, Darul Aman. Pulau Langkawi hanya boleh di kunjungi melalui jalan laut dan udara. Bandar utama gugusan pulau terletak di pulau utama iaitu Kuah. Puncak tertinggi Langkawi ialah Gunung Raya yang mencapai ketinggian 890 m dari paras laut. Kepulauan ini mengandungi 99 pulau yang merangkumi jumlah kawasan darat 528 km2 (204 batu persegi).  Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohammad pernah bertugas di Pulau Langkawi sebagai seorang doktor sejurus keluar dari Universiti Malaya di Singapura. Semenjak itu, beliau bertekad ingin mengubah ‘Sumpah Mahsuri 7 Keturunan’ menjadi destinasi pelancongan bertaraf dunia.







   
  Apapun asal usul nama sebenarnya, Langkawi memang indah dan permai. Anda tidak akan menyesal mengunjunginya.

Menyelam ke dalam Tasik Dayang Bunting


                                                                                                                               … bersambung…