Dedikasi buat insan-insan berhati mulia.. Tahniah !

By | May 20, 2011
Dewasa ini, kita sering menulis atau membaca perkara yang negatif atau tidak baik dilakukan sesetengah individu. Elok kiranya, ketika ini kita meninjau sudut yang satu lagi yang lebih baik, yang lebih elok. Seimbangkan dunia kita. Dalam dunia yang moden hari ini di mana sahaja termasuk di Malaysia kita masih berpeluang menemui insan yang berhati mulia. Ruang catatan blog kali ini penulis dedikasikan istimewa buat insan-insan yang berhati mulia yang sanggup mengorbankan masa, tenaga, dan memperuntukkan wang ringgit malah apa jua demi membantu insan lain. Tahniah ! dalam pada orang lain sibuk dengan hal masing-masing namun ‘ANDA’ mempunyai waktu untuk insan lain. 
Catatan kali ini berkenaan satu pertubuhan dan ianya berlaku dalam satu peristiwa di pagi hari.  
19 Mei 2011, penulis ke Seksyen 16 Shah Alam atas beberapa urusan. Jam menunjukkan sekitar 930 pagi, namun penulis belum sempat bersarapan lagi. Perut telah berbunyi memberikan isyarat. Mencari gerai atau tempat makan yang berdekatan dan terlihat restoran melayu. Tanpa berfikir panjang penulis memasukinya dan bertanya menu apa yang ada untuk hari ini. Dalam hati penulis berkata nasi lemak pun jadi la, nak cepat sebab ada temujanji sebentar lagi. Dengan senyuman mesra pengendali restoran tersebut memberitahu menu hari ini ‘Kari dan Acar’. Kari dan Acar makan berat tu hati penulis berbisik lantas bertanya “nasi lemak tak de ka”. Pengendali restoran mengulanginya itu la menu untuk hari ini. Pembantu restoran yang seorang lagi memberitahu bahawa sini adalah “Pusat makanan Percuma untuk orang Miskin”,”boleh makan sini tak pe”. Terdetik dalam hati penulis baiknya bagi makan orang miskin, ini kerja orang berhati mulia. Selepas bersarapan di restoran sebelah, penulis mengunjungi restoran itu semula untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut. Bukan menolak pelawaan pengendali pusat tersebut namun penulis merasakan hidangan itu pasti ada yang lebih memerlukan. Tuhan merencanakan penulis untuk sampai ke situ dan mungkin untuk menulis artikal mengenainya, itu la yang berdetik dalam hati penulis semasa memandu balik ” ini takdir Tuhan”.
BELAMISKIN atau Pusat Makan Percuma Pertubuhan Membela Miskin Tegar Malaysia, diasaskan oleh encik Mohamad Sauffi bin Hamzah, mantan pegawai Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dan kini merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya. Sambil dibantu anak-anak, beliau memperuntukkan sekitar RM30,000 sebulan untuk satu pusat. Selain makanan percuma, pertubuhan ini turut mengendalikan aktiviti amal yang lain. Kenali pertubuhan ini melalui alamat dan maklumat di bawah; 
* mungkin kita ada sesuatu yang boleh kita hulurkan..!

Pengurus : Khairunnisa binti Khirrudin
Phone: 014 272 0122 
N0. 6 Jalan Sempadan 16/7, Seksyen 16, 40200 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
email: belamiskin@gmail.com 
            nisa.khirrudin@gmail.com
MENGENAI KAMI
Pertubuhan Membela Miskin Tegar Malaysia (BELAMISKIN) dahulunya dikenali sebagai Pertubuhan Kebajikan 1 Malaysia merupakan pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang memberi makanan bermasak, pakaian dan tuisyen percuma kepada semua golongan yang memerlukan tidak mengira latar belakang kaum dan agama. Pertubuhan ini lebih dikenali dengan nama “Pusat Makan Percuma” kerana di sinilah pusat penyediaan makanan, pakaian dan tuisyen beroperasi di samping menjadi tempat pentadbiran pertubuhan.
Konsep untuk membuat kebajikan ini adalah hasil cetusan idea oleh pengasas pertubuhan ini sendiri iaitu Encik Mohamad Sauffi bin Hamzah. Beliau merupakan seorang bekas pegawai Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dan kini merupakan seorang ahli perniagaan. Beliau mengeluarkan modal sendiri untuk pertubuhan ini atas tujuan beramal dan membantu kepada mereka yang memerlukan bantuan.
Tidak seperti pertubuhan yang lain, keunikan yang ada pada pertubuhan ini adalah hasil gabungan tenaga yang terdiri daripada ahli keluarga pengasas sendiri dan juga pembantu-pembantu serta sukarelawan-sukarelawan yang lain.
Pertubuhan ini bercadang untuk membuka banyak lagi cawangan bagi usaha untuk menangani kemiskinan dan juga membela nasib golongan yang memerlukan terutama golongan warga emas dan golongan kanak-kanak.

OBJEKTIF

1. Memberi makanan bermasak percuma kepada golongan yang memerlukan (golongan sasaran) di Pusat Makan Percuma.
2. Membantu keluarga miskin tegar dengan memberi bantuan makanan kering secara bulanan.
3. Memberi dan mengagihkan pakaian baru dan terpakai kepada mereka yang memerlukan.
4. Memberi tuisyen percuma kepada pelajar-pelajar sekolah dan golongan dewasa.
5. Membantu menguruskan permohonan pemohon-pemohon yang ingin mendapatkan bantuan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Pusat Zakat.
6. Melaksanakan program “Rich Meets Poor” iaitu sebuah keluarga berada memberi bantuan makanan secara bulanan kepada keluarga miskin yang dipilih

VISI

1. Mempunyai cawangan di seluruh Malaysia untuk meringankan bebanan yang ditanggung oleh golongan miskin.
2. Menjadi pertubuhan pertama yang membuka cawangan di luar negara terutama negara-negara mundur dan miskin dengan menggunakan konsep yang sama.
3. Membantu golongan kanak-kanak mendapat pendidikan yang lebih bermutu dan juga memupuk masyarakat mengenai kesedaran sivik dan disiplin.
4. Berjaya mendapatkan ‘fostership’ untuk orang-orang miskin daripada golongan berada atas nisbah 1 berada 1 miskin.
5. Membuka minda kepada rakyat Malaysia tentang kesedaran serta celik menderma atau sedekah

GOLONGAN SASARAN

1. Golongan miskin tegar yang berpendapatan RM 540.00 dan ke bawah.
2. Anak-anak miskin yang tidak berkemampuan untuk mendapat khidmat tuisyen di luar.
3. Golongan miskin Bandar yang berpendapatan RM 960.00 dan ke bawah
PERTUBUHAN INI MEMBERI MAKANAN, PAKAIAN, TUISYEN DAN KASIH SAYANG PERCUMA UNTUK SEMUA GOLONGAN YANG MEMERLUKAN TANPA MENGIRA LATAR BELAKANG KAUM DAN AGAMA
Category: Uncategorized